Tuesday 17 April 2012

Melayu Bodoh Itu Bijak?

Ini petikan dari ‘dinding’ Facebook penulis sendiri:  Orang cina ubah nasib diri dan kaumnya dengan belajar bersungguh-sungguh dan bekerja kuat. Orang melayu nak ubah nasib dirinya dengan ubah kerajaan, ubah undang-undang, ubah sikap orang lain, ubah cara bercakap dan semuanya nak diubah KECUALI dirinya sendiri... 
Akhir-akhir ini kita kerap melihat anak-anak Melayu menjadi barua atau balaci orang dengan berdemo sana sini, terpekik terlolong menuntut itu dan ini, terjerit-jerit mengajar orang bagaimana untuk mentadbir dan memimpin sedangkan diri sendiri belum sampai ke mana.   Kebanyakan mereka pula adalah terdiri dari pelajar-pelajar universiti yakni, orang-orang yang sepatutnya bergelar cerdik ataupun pandai, kalaupun tidak cerdikpandai. 
Maka, bukankah wajar bagi kita semua merasa risau? 
Jika yang berdemo, terpekik terlolong dan terjerit-jerit itu dikatakan Melayu golongan cerdik dan pandai, maka bagaimanakah rupanya Melayu dari golongan yang tidak cerdik dan tidak pandai? 
Blog Lim Kit Siang baru-baru ini menyiarkan beberapa artikel ditulis oleh penulis Melayu yang memperlekeh Melayu UMNO/Perkasa sebagai bodoh atau ketinggalan, secara sinis dan tidak langsung. 
Sebagai respon, penulis ingin mempersoalkan, jika Melayu UMNO yang mempertahankan bangsa dianggap bodoh, paranoid, jumud dan sebagainya maka adakah Melayu PR yang terpekik terlolong berdemo seperti Adam Adli atau Melayu yang lulus pengajian melayu gred 3 seperti Anwar Ibrahim atau sasterawan bingung A.Samad Said itu dianggap Melayu bijak? 
Apakah Melayu seperti Hadi Awang itu bijak?  Atau Nik Aziz?  Apakah Melayu liberal seperti Zaid Ibrahim itu bijak?  Ke sana ke mari mencari tapak untuk bergelar ‘Ketua’? 
Bagaimanakah definisi Melayu bijak di mata Lim Kit Siang dan golongan yang sewaktu dengannya itu?  Atau  apakah Melayu tak lulus SRP seperti Mahfuz dan kantoi ITM seperti Mat Sabu itu Melayu bijak?
Mungkin jawapannya ya, sebab itulah Mat Sabu menjadi pilihan DAP untuk menerajui PAS. Bukan kita tidak tahu bahawa dengan berkat sokongan DAPlah maka Mat Sabu dapat menjadi orang no. 2 di dalam PAS hari ini. 
Walau apapun, adalah menjadi hak Lim Kit Siang dan DAP untuk memberi definisi sendiri bagi Melayu bijak. 
Apa yang penting di sini ialah bagaimana pula definisi Melayu bijak di mata Melayu sendiri?  Apakah kita bersetuju dengan definisi yang diberikan oleh DAP itu?  Apakah ada  di antara kita serius menganggap Adam Adli itu sebagai bijak, seorang wira, aset negara, bakal menjadi manusia berguna atau pemimpin ulung di masa depan?   
Jika ada, maka wajarlah kita menggandakan kerisauan kita. 
Adam Adli, penuntut UPSI iaitu sebuah pusat pengajian tinggi khas untuk mengeluarkan guru-guru yang bakal mendidik generasi baru bangsa kita.  Oleh itu, ramai yang tertanya-tanya  bagaimanakah manusia haprak sepertinya boleh diharapkan untuk mendidik sesiapa? 
Dan yang lebih penting ialah berapa ramaikah bakal guru haprak atau yang sedia ada yang sedang mengajar anak-anak kita pada hari ini?    Berapa ramai pula manusia haprak yang bakal dikeluarkan oleh mereka?   Dan sampai bila kitaran ini boleh dihentikan? 
Masalah orang Melayu haprak seperti Adam Adli ini ialah mereka impikan kesenangan tetapi malas berusaha.  Apabila berhutang mereka berat untuk membayar.  Apabila bekerja, mereka inginkan kerja yang mudah seperti tidak perlu mengikut masa, tidak perlu bangun pagi, tidak ada disiplin pakaian, tidak perlu berhadapan dengan persaingan mahupun cabaran dimarahi ketua atau pelanggan. 
Dan mereka mahukan  agar negara ini atau dunia ini memenuhi impian mereka untuk bersantai selama-lamanya.  Jika tidak mereka akan memberontak menyalahkan segala-galanya. 
Sebagai jalan penyelesaian, sebahagian besar dari Melayu seperti Adam Adli memilih untuk berjinak-jinak dengan politik atau lebih baik sedikit, memilih untuk menjadi guru kerana dapat pulang awal dan hanya perlu berurusan dengan kanak-kanak.  Itupun ramai dari mereka yang merungut konon beban kerja yang terlalu berat dan banyak.  Padahal, andai mereka tahu kerja seorang kerani swasta yang gajinya lebih kurang sama dengan mereka adalah jauh lebih berat dan mencabar lagi tetapi tiada sungutan kedengaran kerana sikap tanggungjawab dan kesediaan menerima sifat pekerjaan itu sendiri. 
Sememangnya, sikap semulajadi Melayu itu santai dan sambil lewa sesuai dengan aktiviti utama Melayu dahulu kala iaitu petani dan pesawah di mana makanan tetap tersedia tanpa perlu bersaing atau mencabar orang lain.  Orang Melayu juga tidak sukakan keganasan dan sering memilih untuk berperang mulut daripada berperang secara fizikal. 
Ini terbukti dalam sistem pentadbiran negara ini sendiri di mana Malaysialah satu-satunya negara dengan begitu ramai Raja.  Ini kerana, tidak seperti Raja-raja negara lain yang akan berperang dan menakluk negeri-negeri kecil untuk disatukan di bawah satu jajahan, Raja-raja Melayu tidak tamak serta menghormati jajahan masing-masing.  Hasilnya, ialah sebuah negara yang unik sekali.
Walaupun ada kebaikannya, tetapi sikap sambil lewa ini tidak membawa manfaat di zaman yang serba pantas dan canggih ini.  Kita tidak boleh berdegil inginkan dunia berubah dan menerima cara santai dan sambil lewa kita tetapi kitalah yang harus berubah menjadi pantas dan canggih seperti dunia.  Jika tidak, bangsa kita tidak akan mampu berdiri sama tinggi dengan bangsa lain selama-lamanya. 
Contohnya, jika kita tinggal di kawasan banjir, apakah kita akan hanya bersungut dan menuntut agar Allah menghentikan hujan atau kita akan berbuat perubahan dengan berpindah atau membuat tambak dan meninggikan lantai rumah?  Jika kita tidak dapat menjawab soalan peperiksaan, adakah kita meminta guru memudahkan soalan atau kita berusaha memahami pembelajaran agar lulus peperiksaan?   Jika kita berhutang apakah kita meminta orang menghalalkan hutang kita atau berusaha keras untuk mendapat pekerjaan yang baik agar dapat membayar hutang dan masih mempunyai lebihan yang selesa? 
Jika Allah tidak menghentikan hujan, jika guru tidak memudahkan soalan dan jika orang yang memberi hutang enggan menghalalkan hutang, apakah kita akan mengangkat sepanduk berdemonstrasi sehingga kehendak kita ditunaikan?   Apakah jaminan yang demonstrasi akan memberikan kita kemenangan?  
Sedangkan jika kita tidak menunggu hujan berhenti, dan pantas menyelamatkan diri, kita sudah pun berada dalam keadaan selesa lebih awal lagi.  Dan jika kita belajar sejak dari mula maka kita tidak perlu risau akan soalan yang sukar dalam peperiksaan.  Begitu juga jika kita berusaha membayar hutang maka kita tidak perlu risau andainya menutup mata dalam keadaan hutang belum dilangsaikan. 
Bukankah segala-galanya akan lebih teratur dan sempurna jika bersedia mengikut kitaran dunia dan bukannya menarik dunia agar mengikut kitaran emosi, kehandak dan keinginan kita?
Sesungguhnya, tidak ada cara mudah untuk senang. Semua orang perlu melalui proses yang sama untuk berjaya iaitu belajar bersungguh-sungguh dan bekerja bersungguh-sungguh dalam apa jua bidang yang dipilih.  Jika enggan, angkatlah sepanduk walau setinggi mana, anda akan tetap menjadi manusia tidak berguna. 
Itu hakikat yang para mahasiswa, mahasewel dan semua Melayu perlu terima.